Sabtu, 2 Januari 2010

Forum BANTAH banyak timbulkan persoalan


Pada 1 Januari 2010, Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (BANTAH) telah menganjurkan sebuah forum yang kononnya dikatakan bersifat intelektual, "E-Voting dan Masa Depan Demokrasi Kampus".

BANTAH melaungkan berulang-ulang kali bahawa mereka banyak mendapat tekanan daripada pelbagai pihak, termasuk Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UM sendiri untuk membatalkan forum tersebut. Malah, panelis utama yang sepatutnya bersama-sama menjayakan forum tersebut dikatakan telah menarik diri pada saat-saat akhir dengan mengkhabarkan melalui e-mel kepada pengerusi BANTAH.

Srikandi Malaya melihat program berjalan lancar, sungguhpun banyak persoalan yang sebenarnya timbul, di sebalik kelewatan program bermula di samping pelbagai dakwaan yang ditujahkan sepanjang forum berlangsung.

Antara yang harus difikir-fikirkan oleh mahasiswa/mahasiswi adalah:
  1. Bagaimana jika, pihak penganjur sebenarnya mempunyai kemampuan untuk menganjurkan forum di dalam Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam (atau lokasi relevan yang lain), tetapi sengaja menjalankan forum hanya di sepanjang koridor untuk mencipta satu situasi meraih simpati dan semangat?
  2. Bagaimana jika, pihak panelis yang sepatutnya bersama tetapi dikatakan membatalkan pada saat akhir, sebenarnya telah merancang awal-awal lagi bersama penganjur, sebagai satu strategi meraih lebih sokongan melalui elemen simpati dan kecewa?
  3. Bagaimana jika, pihak HEP sebenarnya tidak menghalang langsung penganjuran forum berkenaan melainkan memberi peringatan bahawa pihak HEP tidak akan bertoleransi langsung sekiranya terdapat demonstrasi atau kejadian/kelakuan yang melampaui batas serta terpesong daripada objektif sebenar program?
  4. Bagaimana jika, pihak panelis bukan Islam yang turut sama menjayakan forum, sebenarnya mempunyai agenda yang lebih 'berat' dalam arena politik yang dibawa oleh partinya, yang tidak disedari pihak Pro-Mahasiswa sendiri, di sebalik keramahan dan kemesraannya?
  5. Adakah pemimpin seperti Yang Berhormat (panelis) tersebut, yang mungkin terlepas cakap; "Pergi mampus!" semasa sedang berhujah, yang mahu disanjung dan dijadikan contoh oleh mahasiswa/mahasiswi UM?
  6. Adakah/sejauh manakah semua mahasiswa/mahasiswi UM yang hadir (termasuk tetamu dari kampus UKM/UPM dan lain-lain) benar-benar memahami sistem e-voting termasuk ketelusan pihak yang terlibat dalam menyelia sistem berkenaan, proses sistem tersebut, dan sesudah pengundian dijalankan?
  7. Sekiranya benar forum ini dikatakan bersifat demokrasi, mengapakah hanya satu pihak yang menentang sahaja yang berdiskusi, tanpa kehadiran hujah-hujah pihak yang mahu memberi peluang kepada e-voting? (Menurut kata mereka, Tuan Speaker SPKUM menolak jemputan mereka?)

Srikandi Malaya tidak cuba menyogok mahasiswa/mahasiswi UM dengan fitnah yang membuta-tuli, sebaliknya meletakkan persoalan-persoalan ini sebagai satu jaringan pemikiran untuk warga UM menilai kembali apakah yang mungkin menjadi agenda pihak Pro-Mahasiswa menganjurkan forum/program sebegini.

Ini satu persoalan, bukan satu pernyataan fitnah. Fikir-fikirkan bersama.

Srikandi Malaya - Teguhkan tekad, tingkatkan usaha!

Jumaat, 1 Januari 2010

Selamat Tahun Baru 2010!


Selamat Tahun Baru 2010!

Selamat memulakan semester ke-dua sesi 2009/2010 dengan cemerlang.

Ayuh, kita bangunkan generasi beraspirasi cemerlang, berjiwa terbilang!

Agama, ilmu, perpaduan dan kebajikan, menjadi pegangan.