Khamis, 17 September 2009

Salam Lebaran 1430H!


Salam Eidulfitri daripada Srikandi Malaya!

Ahad, 13 September 2009

Agenda Kotor UM-today Menghancurkan Perpaduan Mahasiswa UM


Baru-baru ini Universiti Malaya (UM) digemparkan dengan dakwaan berlaku penyelewengan melalui sebuah program anjuran Kolej Kediaman Ungku Aziz (KK-11) yang melibatkan wang zakat berjumlah RM30,000.


Dalam masa hanya satu hari, isu baru yang melibatkan Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah (KK-12) pula dihebahkan kepada seluruh kampus. Sebelum hebahan berita tidak berasas mengenai KK-11, isu perlantikan Jawatankuasa Tindakan Kolej (JTK) Kolej Kediaman Dayasari (KK-5) juga dibesar-besarkan. Terbaru, blog berkenaan cuba menjatuhkan Pengetua Kolej Kediaman Tunku Kursiah (KK-3) dan menghasut penghuni-penghuni KK-3 untuk turut membenci beliau.

Blog berkenaan, UM-today, dilihat sebagai satu pencetus kekacauan dan mempunyai agenda kotor untuk memecah-belahkan perpaduan di kalangan mahasiswa yang menghuni kolej-kolej kediaman di UM. Isu-isu yang dibangkitkan adalah tuduhan-tuduhan rambang yang menampakkan keburukan barisan pimpinan mahasiswa di kolej-kolej kediaman, pihak pengurusan kolej-kolej kediaman dan juga pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) melalui hentaman terhadap Timbalan Naib Canselor HEP dan pegawai-pegawai beliau.

Srikandi Malaya mengajak seluruh mahasiswa UM menganalisis dan menilai kembali segala cerita yang disebarkan melalui blog tersebut. Jelas, blog ini didalangi pihak-pihak tertentu yang sengaja mensasarkan perpecahan di kalangan penghuni kolej dengan menyerapkan unsur keraguan terhadap ketelusan barisan pimpinan kolej serta pentadbiran/pengurusan kolej.

Blog yang kononnya diisytiharkan 'dari perspektif mahasiswa', ternyata pro kepada gagasan tertentu yang jelas dinyatakan melalui artikel-artikel yang disiarkan. Bertitik-tolak daripada usaha menghancurkan perpaduan dan melunaskan unsur ketidakpercayaan mahasiswa UM yang menghuni kolej-kolej kediaman, blog berkenaan juga cuba mengalihkan perhatian warga UM kepada isu-isu di sekitar kolej-kolej kediaman supaya agenda politik mereka dapat diperluaskan.

Srikandi Malaya berpendapat, blog berkenaan juga mempunyai kaitan dengan satu lagi laman blog yang menonjolkan dakyah yang sama, iaitu mahasiswakini - yang kononnya memperjuangkan kebajikan mahasiswa.

Perkaitan kedua-dua blog ini seharusnya disedari mahasiswa-mahasiswi UM, bahawa propaganda yang dibawa mereka hanyalah omongan kosong yang sarat unsur-unsur fitnah dan mampu menggangu-gugat ketenteraman seluruh warga UM. Nampaknya, kehangatan Pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (pilihanraya kampus) yang dijangkakan bakal berlangsung tidak lama lagi membuatkan mereka tekad menyampaikan isu-isu yang tidak relevan dan mengaitkannya dengan kepincangan di dalam organisasi kepimpinan kolej, pengurusan kolej serta pihak HEP sendiri.

Mahasiswa-mahasiswi UM harus lebih bijak menilai setiap isu yang dibangkitkan supaya tidak berlaku perpecahan dan sekaligus, mengekalkan kesatuan kita.

Srikandi Malaya bakal merungkaikan lebih banyak kepincangan dalang yang berselindung di sebalik isu-isu yang ditimbulkan. Nantikan!

Srikandi Malaya - Mendepani Isu, Menyatukan Mahasiswa

Sabtu, 12 September 2009

Manfaatkan 10 hari terakhir Ramadhan


Kata 'Aisyah, "Nabi S.A.W. apabila masuk 10 malam terakhir Ramadhan akan mengikat kainnya, menghidupkan malamnya dan mengejutkan keluarganya daripada tidur".


Malam yang paling baik sepanjang tahun ialah 10 malam terakhir Ramadhan. Ini kerana diharapkan berlaku di dalamnya malam al-Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan. Masuknya 10 terakhir Ramadhan ialah dengan tenggelamnya matahari hari ke-20 Ramadhan dan berakhir dengan tenggelamnya matahari sebelum bermula hari raya.

Ada beberapa amalan yang dilakukan Nabi S.A.W. dan sahabat baginda pada malam-malam terakhir Ramadhan untuk mengisi Lailatul Qadar. Antaranya ialah mandi, berpakaian indah dan berharum-haruman, melaksanakan solat, iktikaf dan membaca Al-Quran, serta memperbanyakkan doa.

Srikandi Malaya mendoakan seluruh warga Universiti Malaya dan umat Islam seluruh dunia berada di bawah lindungan-Nya dan mari kita sama-sama memanfaatkan hari-hari terakhir bulan Ramadhan dengan ibadah kepada-Nya.

Semoga Ramadhan kali ini dilabuhkan dengan penuh rahmat-Nya, insya-Allah.

Srikandi Malaya - Agama Ilmu Perpaduan Kebajikan

Logo Srikandi Malaya


Daripada Mahasiswa Kepada Mahasiswa Untuk Mahasiswa

Srikandi Malaya: Cendekiawan Bestari, Puteri dan Permaisuri, Pertiwi Seisi Dunia Lestari


Siapa kami?


Srikandi Malaya menerajui kepimpinan siswi bestari Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Diilhamkan atas nama perpaduan dan mendokong aspirasi kerajaan yang membawa semangat 1Malaysia. Srikandi Malaya dibarisi mahasiswi yang tekad memegang 4 teras perjuangan iaitu agama, ilmu, perpaduan dan kebajikan. Semua bangsa, semua agama, di bawah payung perpaduan bergabung membentuk gagasan Srikandi Malaya untuk memperkasakan mahasiswi dan seterusnya menjadi penggerak kepada perpaduan.

Srikandi Malaya menyeru seluruh mahasiswi Universiti Malaya untuk sama-sama membangunkan semangat perpaduan dan bersatu menuju pembangunan ummah. Srikandi Malaya menyalurkan gerakan mahasiswa dengan idealisme tersendiri tanpa dipengaruhi sentimen politik luar dan meletakkan perjuangan dengan diiringi ilmu.

Kamilah yang bakal menjadi cendekiawan bestari, puteri kini dan permaisuri di suatu hari nanti, serta pertiwi seisi dunia lestari.

Srikandi Malaya - Penggerak Perpaduan