Sabtu, 2 Januari 2010

Forum BANTAH banyak timbulkan persoalan


Pada 1 Januari 2010, Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (BANTAH) telah menganjurkan sebuah forum yang kononnya dikatakan bersifat intelektual, "E-Voting dan Masa Depan Demokrasi Kampus".

BANTAH melaungkan berulang-ulang kali bahawa mereka banyak mendapat tekanan daripada pelbagai pihak, termasuk Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UM sendiri untuk membatalkan forum tersebut. Malah, panelis utama yang sepatutnya bersama-sama menjayakan forum tersebut dikatakan telah menarik diri pada saat-saat akhir dengan mengkhabarkan melalui e-mel kepada pengerusi BANTAH.

Srikandi Malaya melihat program berjalan lancar, sungguhpun banyak persoalan yang sebenarnya timbul, di sebalik kelewatan program bermula di samping pelbagai dakwaan yang ditujahkan sepanjang forum berlangsung.

Antara yang harus difikir-fikirkan oleh mahasiswa/mahasiswi adalah:
  1. Bagaimana jika, pihak penganjur sebenarnya mempunyai kemampuan untuk menganjurkan forum di dalam Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam (atau lokasi relevan yang lain), tetapi sengaja menjalankan forum hanya di sepanjang koridor untuk mencipta satu situasi meraih simpati dan semangat?
  2. Bagaimana jika, pihak panelis yang sepatutnya bersama tetapi dikatakan membatalkan pada saat akhir, sebenarnya telah merancang awal-awal lagi bersama penganjur, sebagai satu strategi meraih lebih sokongan melalui elemen simpati dan kecewa?
  3. Bagaimana jika, pihak HEP sebenarnya tidak menghalang langsung penganjuran forum berkenaan melainkan memberi peringatan bahawa pihak HEP tidak akan bertoleransi langsung sekiranya terdapat demonstrasi atau kejadian/kelakuan yang melampaui batas serta terpesong daripada objektif sebenar program?
  4. Bagaimana jika, pihak panelis bukan Islam yang turut sama menjayakan forum, sebenarnya mempunyai agenda yang lebih 'berat' dalam arena politik yang dibawa oleh partinya, yang tidak disedari pihak Pro-Mahasiswa sendiri, di sebalik keramahan dan kemesraannya?
  5. Adakah pemimpin seperti Yang Berhormat (panelis) tersebut, yang mungkin terlepas cakap; "Pergi mampus!" semasa sedang berhujah, yang mahu disanjung dan dijadikan contoh oleh mahasiswa/mahasiswi UM?
  6. Adakah/sejauh manakah semua mahasiswa/mahasiswi UM yang hadir (termasuk tetamu dari kampus UKM/UPM dan lain-lain) benar-benar memahami sistem e-voting termasuk ketelusan pihak yang terlibat dalam menyelia sistem berkenaan, proses sistem tersebut, dan sesudah pengundian dijalankan?
  7. Sekiranya benar forum ini dikatakan bersifat demokrasi, mengapakah hanya satu pihak yang menentang sahaja yang berdiskusi, tanpa kehadiran hujah-hujah pihak yang mahu memberi peluang kepada e-voting? (Menurut kata mereka, Tuan Speaker SPKUM menolak jemputan mereka?)

Srikandi Malaya tidak cuba menyogok mahasiswa/mahasiswi UM dengan fitnah yang membuta-tuli, sebaliknya meletakkan persoalan-persoalan ini sebagai satu jaringan pemikiran untuk warga UM menilai kembali apakah yang mungkin menjadi agenda pihak Pro-Mahasiswa menganjurkan forum/program sebegini.

Ini satu persoalan, bukan satu pernyataan fitnah. Fikir-fikirkan bersama.

Srikandi Malaya - Teguhkan tekad, tingkatkan usaha!

Jumaat, 1 Januari 2010

Selamat Tahun Baru 2010!


Selamat Tahun Baru 2010!

Selamat memulakan semester ke-dua sesi 2009/2010 dengan cemerlang.

Ayuh, kita bangunkan generasi beraspirasi cemerlang, berjiwa terbilang!

Agama, ilmu, perpaduan dan kebajikan, menjadi pegangan.

Jumaat, 18 Disember 2009

Salam Maal Hijrah 1431!


Kepada seluruh umat Islam di Universiti Malaya dan dunia,

Selamat menyambut tahun baru 1431 Hijrah!

Tolak perpecahan, erat persaudaraan.

Ayuh berhijrah, bergerak sebagai agen perpaduan!


Srikandi Malaya - Penggerak Perpaduan

Isnin, 16 November 2009

Semak jadual kuliah dan pendaftaran anda!


Jadual waktu kuliah untuk Semester 2, Sesi 2009/2010 dapat disemak bermula 16 November 2009. Klik sini untuk semakan.

Pendaftaran subjek untuk semester tersebut akan bermula pada 23 November 2009 mengikut tahap pengajian.

Ayuh! Rancang perjalanan akademik anda lebih awal dan bersedia untuk menghadapi semester seterusnya dengan lebih cemerlang!

Srikandi Malaya: Agama Ilmu Perpaduan Kebajikan

Sabtu, 31 Oktober 2009

Salam taufiq wannajah fil imtihan


Kepada seluruh mahasiswi Universiti Malaya, Srikandi Malaya mengucapkan selamat menempuh peperiksaan semester 1 sesi 2009/10 dengan seribu keberkatan dan rahmat daripada-Nya. Semoga peperiksaan kali ini menjadi satu lagi kejayaan yang berterusan buat seluruh warga UM!



Bi taufiq wan najah fil imtihan!

Srikandi Malaya - Berilmu Beramal

Khamis, 17 September 2009

Salam Lebaran 1430H!


Salam Eidulfitri daripada Srikandi Malaya!

Ahad, 13 September 2009

Agenda Kotor UM-today Menghancurkan Perpaduan Mahasiswa UM


Baru-baru ini Universiti Malaya (UM) digemparkan dengan dakwaan berlaku penyelewengan melalui sebuah program anjuran Kolej Kediaman Ungku Aziz (KK-11) yang melibatkan wang zakat berjumlah RM30,000.


Dalam masa hanya satu hari, isu baru yang melibatkan Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah (KK-12) pula dihebahkan kepada seluruh kampus. Sebelum hebahan berita tidak berasas mengenai KK-11, isu perlantikan Jawatankuasa Tindakan Kolej (JTK) Kolej Kediaman Dayasari (KK-5) juga dibesar-besarkan. Terbaru, blog berkenaan cuba menjatuhkan Pengetua Kolej Kediaman Tunku Kursiah (KK-3) dan menghasut penghuni-penghuni KK-3 untuk turut membenci beliau.

Blog berkenaan, UM-today, dilihat sebagai satu pencetus kekacauan dan mempunyai agenda kotor untuk memecah-belahkan perpaduan di kalangan mahasiswa yang menghuni kolej-kolej kediaman di UM. Isu-isu yang dibangkitkan adalah tuduhan-tuduhan rambang yang menampakkan keburukan barisan pimpinan mahasiswa di kolej-kolej kediaman, pihak pengurusan kolej-kolej kediaman dan juga pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) melalui hentaman terhadap Timbalan Naib Canselor HEP dan pegawai-pegawai beliau.

Srikandi Malaya mengajak seluruh mahasiswa UM menganalisis dan menilai kembali segala cerita yang disebarkan melalui blog tersebut. Jelas, blog ini didalangi pihak-pihak tertentu yang sengaja mensasarkan perpecahan di kalangan penghuni kolej dengan menyerapkan unsur keraguan terhadap ketelusan barisan pimpinan kolej serta pentadbiran/pengurusan kolej.

Blog yang kononnya diisytiharkan 'dari perspektif mahasiswa', ternyata pro kepada gagasan tertentu yang jelas dinyatakan melalui artikel-artikel yang disiarkan. Bertitik-tolak daripada usaha menghancurkan perpaduan dan melunaskan unsur ketidakpercayaan mahasiswa UM yang menghuni kolej-kolej kediaman, blog berkenaan juga cuba mengalihkan perhatian warga UM kepada isu-isu di sekitar kolej-kolej kediaman supaya agenda politik mereka dapat diperluaskan.

Srikandi Malaya berpendapat, blog berkenaan juga mempunyai kaitan dengan satu lagi laman blog yang menonjolkan dakyah yang sama, iaitu mahasiswakini - yang kononnya memperjuangkan kebajikan mahasiswa.

Perkaitan kedua-dua blog ini seharusnya disedari mahasiswa-mahasiswi UM, bahawa propaganda yang dibawa mereka hanyalah omongan kosong yang sarat unsur-unsur fitnah dan mampu menggangu-gugat ketenteraman seluruh warga UM. Nampaknya, kehangatan Pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (pilihanraya kampus) yang dijangkakan bakal berlangsung tidak lama lagi membuatkan mereka tekad menyampaikan isu-isu yang tidak relevan dan mengaitkannya dengan kepincangan di dalam organisasi kepimpinan kolej, pengurusan kolej serta pihak HEP sendiri.

Mahasiswa-mahasiswi UM harus lebih bijak menilai setiap isu yang dibangkitkan supaya tidak berlaku perpecahan dan sekaligus, mengekalkan kesatuan kita.

Srikandi Malaya bakal merungkaikan lebih banyak kepincangan dalang yang berselindung di sebalik isu-isu yang ditimbulkan. Nantikan!

Srikandi Malaya - Mendepani Isu, Menyatukan Mahasiswa