Baru-baru ini Universiti Malaya (UM) digemparkan dengan dakwaan berlaku penyelewengan melalui sebuah program anjuran Kolej Kediaman Ungku Aziz (KK-11) yang melibatkan wang zakat berjumlah RM30,000.
Dalam masa hanya satu hari, isu baru yang melibatkan Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah (KK-12) pula dihebahkan kepada seluruh kampus. Sebelum hebahan berita tidak berasas mengenai KK-11, isu perlantikan Jawatankuasa Tindakan Kolej (JTK) Kolej Kediaman Dayasari (KK-5) juga dibesar-besarkan. Terbaru, blog berkenaan cuba menjatuhkan Pengetua Kolej Kediaman Tunku Kursiah (KK-3) dan menghasut penghuni-penghuni KK-3 untuk turut membenci beliau.
Blog berkenaan, UM-today, dilihat sebagai satu pencetus kekacauan dan mempunyai agenda kotor untuk memecah-belahkan perpaduan di kalangan mahasiswa yang menghuni kolej-kolej kediaman di UM. Isu-isu yang dibangkitkan adalah tuduhan-tuduhan rambang yang menampakkan keburukan barisan pimpinan mahasiswa di kolej-kolej kediaman, pihak pengurusan kolej-kolej kediaman dan juga pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) melalui hentaman terhadap Timbalan Naib Canselor HEP dan pegawai-pegawai beliau.
Srikandi Malaya mengajak seluruh mahasiswa UM menganalisis dan menilai kembali segala cerita yang disebarkan melalui blog tersebut. Jelas, blog ini didalangi pihak-pihak tertentu yang sengaja mensasarkan perpecahan di kalangan penghuni kolej dengan menyerapkan unsur keraguan terhadap ketelusan barisan pimpinan kolej serta pentadbiran/pengurusan kolej.
Blog yang kononnya diisytiharkan 'dari perspektif mahasiswa', ternyata pro kepada gagasan tertentu yang jelas dinyatakan melalui artikel-artikel yang disiarkan. Bertitik-tolak daripada usaha menghancurkan perpaduan dan melunaskan unsur ketidakpercayaan mahasiswa UM yang menghuni kolej-kolej kediaman, blog berkenaan juga cuba mengalihkan perhatian warga UM kepada isu-isu di sekitar kolej-kolej kediaman supaya agenda politik mereka dapat diperluaskan.
Srikandi Malaya berpendapat, blog berkenaan juga mempunyai kaitan dengan satu lagi laman blog yang menonjolkan dakyah yang sama, iaitu mahasiswakini - yang kononnya memperjuangkan kebajikan mahasiswa.
Perkaitan kedua-dua blog ini seharusnya disedari mahasiswa-mahasiswi UM, bahawa propaganda yang dibawa mereka hanyalah omongan kosong yang sarat unsur-unsur fitnah dan mampu menggangu-gugat ketenteraman seluruh warga UM. Nampaknya, kehangatan Pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (pilihanraya kampus) yang dijangkakan bakal berlangsung tidak lama lagi membuatkan mereka tekad menyampaikan isu-isu yang tidak relevan dan mengaitkannya dengan kepincangan di dalam organisasi kepimpinan kolej, pengurusan kolej serta pihak HEP sendiri.
Mahasiswa-mahasiswi UM harus lebih bijak menilai setiap isu yang dibangkitkan supaya tidak berlaku perpecahan dan sekaligus, mengekalkan kesatuan kita.
Srikandi Malaya bakal merungkaikan lebih banyak kepincangan dalang yang berselindung di sebalik isu-isu yang ditimbulkan. Nantikan!
Srikandi Malaya - Mendepani Isu, Menyatukan Mahasiswa
Tiada ulasan:
Catat Ulasan